Sunday, February 17, 2013

PRU 13 Bukan Pertarungan Biasa - Ezam


Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang bakal diadakan tidak lama lagi dilihat bukan sekadar pertarungan biasa, sebaliknya ia melibatkan misi mempertahankan kedaulatan dan pengaruh negara.

Senator Mohamad Ezam Mohd Noor mendakwa, negara ini dikatakan sedang ‘diintai’ pihak asing dalam usaha mengekalkan kuasa memandangkan kedudukannya yang strategik serta menjadi penghubung jalan timur dan barat.

Beliau mendakwa, jika rakyat silap membuat percaturan, negara bakal dikuasai pihak asing yang mempunyai kuasa besar.

“Jangan sampai orang asing yang tentukan (agenda negara). Agenda itu agenda kita, (kalau) hendak tukar kerajaan itu pun kita yang tentukan.

“Jangan jadi seperti negara luar yang hancur kerana mereka mahu berkuasa,” katanya ketika berucap pada Ceramah Jom Tolak Pakatan, malam kelmarin.

Ezam mendakwa, pihak berkepentingan itu menggunakan individu, agensi atau badan bukan kerajaan (NGO) dengan menyalurkan dana kepada institusi terlibat bagi menjayakan rancangan tersebut.

“Hanya mereka yang terdesak saja sanggup jadi alat kuasa asing. Kuasa-kuasa besar asing ini memang cari orang seperti ini yang tiada prinsip moral, gila kuasa dan sanggup gadaikan (negara).

“Ia untuk melemahkan dan merosakkan institusi asas (dalam negara) supaya ranap dan rosak,” katanya.

Justeru, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu mengingatkan kepentingan masyarakat berjiwa besar untuk melawan cabaran dan serangan yang turut disifatkan besar kerana harga pengaruh sebuah negara itu sangat mahal.

“Tolak tepi buat kali ini bahang-bahang politik sempit, kepentingan-kepentingan di negeri-negeri untuk kita mempertahankan kedudukan (negara).

“Bila ada perubahan kita kena terima, sebab kita berjuang untuk perubahan, bukan pangkat. Dalam keadaan hari ini, kita kena terima untuk bergerak senada dengan negaranya. Tak ada maknanya negara hebat, tapi kita berjiwa kecil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, Barisan Nasional (BN) bukan sebuah parti yang terdesak sehingga sanggup menggadaikan prinsipnya.

Katanya, fakta itu mempunyai asasnya apabila ia disokong oleh laporan badan penyelidikan global, Economist Intelligence Unit (EIU) bahawa BN akan terus berkuasa dan menang dalam PRU13 kerana pemerintahan parti itu yang disifatkan rasional.

-SH

No comments: