Monday, January 9, 2012

2 Pembangkang Patut Malu, Mahkamah Malaysia Sememangnya Bebas Dan Adil - KJ


Pemuda UMNO akur dengan keputusan mahkamah hari ini dalam kes yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuktikan kebebasan serta kewibawaan badan kehakiman negara.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata sebagai sebuah institusi politik yang memegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang di samping menghormati kebebasan serta kewibawaan badan kehakiman negara pergerakan itu akur dengan keputusan tersebut.

Menurut beliau keputusan itu juga telah membuktikan kebebasan sistem kehakiman negara yang selama ini dituduh oleh pihak pembangkang sebagai korup, berat sebelah dan di bawah telunjuk kuasa eksekutif tidak benar sama sekali.

“Perlu diingat, keputusan kes ini bukanlah kali pertama keadilan telah memihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada tahun 2004, Mahkamah Persekutuan telah membebaskan beliau dari tuduhan melakukan kesalahan yang sama. Pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain juga telah mendapat keadilan di mahkamah termasuk Lim Guan Eng yang telah menang kes saman malunya terhadap Utusan Malaysia.

“Badan kehakiman negara juga telah menjatuhkan hukuman terhadap beberapa pemimpin Barisan Nasional termasuk baru-baru ini ke atas bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamed Khir Toyo.

“Semua ini jelas menunjukkan pemulihan kewibawaan badan kehakiman negara dan menyangkal dakwaan bahawa ada campur tangan politik dalam kes-kes mahkamah“, katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.


Khairy yang juga Pengerusi Pemuda BN seterusnya menolak hujah yang mengatakan kes terhadap Datuk Seri Anwar merupakan satu konsiprasi politik untuk menjatuhkan beliau.

“Kes ini berpunca daripada laporan polis yang telah dibuat oleh seorang individu iaitu Saiful Bukhari Azlan terhadap ketua pembangkang. Individu ini tidak ada kaitan dengan kerajaan atau parti pemerintah.

“Beliau cuba mendapat keadilan atas apa yang didakwa berlaku antara beliau dan Datuk Seri Anwar. Kes ini melibatkan dua individu dan dakwaan mengenai apa yang berlaku antara dua individu tersebut dan langsung tidak melibatkan kerajaan.

“Sudah pasti, sekiranya ada tuduhan yang serius yang melibatkan jenayah, proses keadilan perlu dijalankan. Dalam kes ini Saiful dan Datuk Seri Anwar diberi peluang yang adil di mahkamah dan proses keadilan telah dijalankan secara terbuka tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak,“katanya.

Tegas beliau lagi, pergerakan itu langsung tidak khuatir dengan keputusan mahkamah dalam kes berkenaan kerana penerimaan rakyat terhadap BN dalam pilihanraya akan datang, tidak ditentukan melalui kes tersebut.

“Ini merupakan kes peribadi beliau yang sudah sampai ke penghujungnya. Bagi kami, yang rakyat akan nilai adalah kesungguhan BN dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, membawa transformasi politik dan ekonomi untuk melahirkan demokrasi yang lebih utuh dan negara yang lebih progresif dan maju.

“Kami yakin program transformasi politik kerajaan yang telah membawa keterbukaan dan menjamin kebebasan serta hak asasi dengan proses pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, penghapusan pengisytiharan darurat, kebebasan polittik yang diberi kepada mahasiswa dan pindaan kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan telah membawa sokongan yang padu dari rakyat, terutamanya generasi muda, terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

“Kejayaan transformasi ini akan menjadi penilaian rakyat pada pilihanraya akan datang, bukannya keputusan mahkamah dalam kes peribadi antara Datuk Seri Anwar dan Saiful“, katanya.

Beliau seterusnya merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Dalam Negeri dan Polis Di Raja Malaysia atas kematangan dalam menangani perhimpunan penyokong-penyokong Datuk Seri Anwar di mahkamah.

“Walaupun berlaku beberapa letupan, polis telah menjalankan tugas dengan adil dan tegas dalam membenarkan penyokong-penyokong Datuk Seri Anwar berhimpun selaras dengan hak asasi rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan semangat akta baru mengenai perhimpunan aman yang juga menjadi kejayaan transformasi politik kerajaan dalam menjamin kebebasan sivil rakyat.

“Kami berharap agar siasatan ke atas kejadian letupan tersebut dapat dilaksanakan dengan segera disamping berdoa agar mereka yang cedera dalam letupan pagi tadi cepat sembuh dari apa sahaja kecederaan yang dialami, “ katanya.

2 comments:

Anonymous said...

syabas pemuda

Anonymous said...

sebenarnya kita sudah menag pg td.. hidup bn!

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates