Saturday, February 23, 2013

Khalid Tak Dapat Tanduk, Telinga Pula Kena Pulas...


Tindakan Tan Sri Khalid Ibrahim arah semua kebenaran pembangunan berkaitan jalan raya dan prasarana persekutuan setelah Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) kalah perbicaraan kes Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) betul-betul macam peribahasa, tak dapat tanduk, telinga dipulas.

Menteri Besar itu sengaja nak tunjuk kuasa dengan arahan serta merta itu sekaligus menafikan hal rakyat Selangor untuk menikmati kemudahan awam khususnya jalan raya serta pengagkutan yang lebih baik.

Sebelum ini pun, beliau ding dong pasal projek loji air Langat 2 dengan macam-macam cara termasuk untuk tidak membenarkan kelulusan merancang projek yang bakal menyelamatkan negeri itu dan sekitar
Lembah Klang daripada krisis air tidak lama lagi.

Khalid tidak sepatutnya bertindak demikian kerana kerajaan negeri mahupun PM Sepang masih boleh merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan AES dipasang di dua Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) dan Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) di Dengkil.

Itu haknya sebagai Menteri Besar dan MP Sepang mempertikai keputusan hakim mahkamah tersebut.

Semalam, Hakim Datuk Zaleha Yusuf memutuskan MP Sepang tidak mempunyai kuasa ke atas Plus dan SKVE kerana kedua-duanya berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

Khalid sudahpun mengarahkan Penasihat Undang-Undang Selangor dan Jabatan Undang-Undang MP Sepang membuat semakan nota kehakiman dan memfailkan rayuan berhubung perkara itu.

Namun, tindakan memutuskan semua kebenaran pembangunan berkaitan jalan raya dan prasarana persekutuan yang telah diberikan digantung buat sementara waktu, adalah tindakan tidak wajar.

"Pembangunan itu akan digantung sehingga proses rayuan selesai.Kerajaan negeri kesal dengan keputusan mahkamah hari ini (semalam) bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa terhadap struktur yang dibina di atas jalan persekutuan.

“Ini kerana kerajaan negeri merasakan, jika kita tiada hak untuk mengawal struktur (jalan raya) di semua tanah di negeri ini, kita tidak akan mampu menguruskannya dengan baik,” katanya.

Jika pun Khalid tidak puashati dengan keputusan mahkamah, tidak perlu beliau mengarahkan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) menyediakan senarai cadangan pembangunan melibatkan lebuh raya atau
prasarana Transit Aliran Ringan (LRT) untuk disemak semula mesyuarat Exco.

Lebih malang, bukan sahaja projek persekutuan di kawasan MP Sepang sahaja malah beliau juga akan memanggil semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyemak semua aktiviti berkaitan dengan penswastaan jalan antara kerajaan negeri dan persekutuan.

Tindakan Menteri Besar itu menurut peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun sebagai keterlaluan kerana sebagai rakyat Selangor, beliau tidak nampak keputusan Mahkamah Tinggi itu menganggu urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Ketika dihubungi Agendadaily, beliau menegaskan, pemasangan AES dilakukan oleh kerajaan Persekutusan di atas jalan raya yang diselenggarakan Jabatan Kerja Raya (JKR) atau syarikat konsesi yang
dilantik JKR.

“Saya tidak nampak konflik perkara ini sehingga Khalid memutuskan arahan tersebut,” katanya.

Menjawab soalan sama ada Khalid menghina keputusan mahkamah, Hafarizam menjelaskan, Menteri Besar itu berhak menyatakan rasa tidak puas hati atau merayu kerana negara ini mengamalkan kebebasan bersuara dan undang-undang demokrasi.

Malangnya, Khalid bukan mengamalkan demokrasi terhadap rakyat Selangor kerana banyak tindak tanduk beliau sebelum ini dalam banyak perkara menggambarkan sikapnya yang dendam dan iri hati dengan kerajaan BN.

-Agendadaily

1 comment:

Anonymous said...

Ala projek jln tu bknnya buat jln baru tp naik taraf jln ja. Jln kt sepang ni bknnya teruk pun. Lbh kpd nk bg projek kat kroni ja.