Wednesday, February 20, 2013

Panas!! Teresa Kok Digesa Letak Jawatan


Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok digesa supaya meletak jawatan sebagai Pengerusi DAP Selangor ekoran kegagalannya melaksanakan tugas dengan baik selain dakwaan bahawa ahli-ahli akar umbi semakin hilang kepercayaan terhadapnya.

Isu tersebut timbul berikutan banyak masalah berlaku sejak kebelakangan ini seperti banjir, perjudian, rasuah dan sampah sarap selain tidak menjaga kebajikan rakyat di negeri berkenaan.


Bekas Pengerusi DAP Cawangan Sungai Pelek, Tan Tuan Tat mendakwa, perkara itu dapat dibuktikan dengan jumlah kehadiran ahli dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) parti berkenaan di negeri tersebut pada 4 November lalu apabila kurang mendapat sambutan.

"Mesyuarat itu hanya menerima 27 peratus kehadiran iaitu sebanyak 311 orang termasuk Ahli Jawatankuasa (AJK) dan delegasi hadir berbanding 1,153 ahli. Meskipun kurang mendapat sambutan, Teresa masih tidak mahu mengakui kepimpinannya yang lemah dan komitmen beliau terhadap ahli-ahli akar umbi.

"Teresa perlu mencontohi sikap pemimpin seperti Presiden China, Hu Jin Tao yang mana selepas sedekad memegang jawatan sebagai ketua parti, akhirnya berundur kerana dikecam dan dikritik rakyat berhubung pimpinan beliau," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas Tuan Tat, setakat ini, masalah-masalah yang melanda Selangor juga tidak pernah diselesaikan secara menyeluruh.

"Sebelum ini beberapa memorandum telah dihantar kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung masalah di Selangor untuk tindakan susulan dan beliau telah mengarahkan Teresa dan Ronnie Liu untuk memantau isu tersebut.

"Sehingga kini, masalah tersebut tidak diselesaikan, jadi bayangkan jika seorang pemimpin gagal menyelesaikan masalah sebegini bagaimana mereka hendak memimpin negara, oleh itu saya serahkan kepada rakyat untuk membuat pertimbangan sewajarnya dalam pilihan raya yang akan datang ini," katanya.

Beliau turut menyeru semua bekas dan ahli DAP tampil menyuarakan rungutan mereka terhadap kepemimpinan Pengerusi DAP Selangor yang tidak cekap dan lemah itu.

Dalam perkembangan lain, Tuan Tat menyelar sikap pemimpin pembangkang yang asyik berebut jawatan Perdana Menteri ketika ini.

Disebabkan perkara itu katanya, pakatan pembangkang gagal mengemukakan Kabinet bayangan seperti yang dijanjikan hingga kini.

-Utusan

No comments: