Sunday, February 17, 2013

PRU 13 : Majlis Syura Mahu PR Ubah Perlembagaan


Majlis Syura Ulama PAS mahu Perlembagaan Malaysia diubah supaya berpaksi kepada Islam sepenuhnya jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya, kata setiausaha badan tertinggi parti itu, Datuk Nik Mohd Zawawi Salleh.

“Jadi sekarang ini, kita nak balik (kepada agama) supaya negara kita beramal dengan Islam secara keseluruhan, dan amalan Islam ini sama sekali tidak bercanggah dengan orang bukan Islam," kata beliau kepada Antarapos.

"(Perlembagaan) .. sebut Islam sebagai agama rasmi, bukan Islam (sebagai) perlembagaan negara. Dia ada beza. Kalau diletakkan Islam dalam perlembagaan negara, maka Islam akan diamalkan secara total.

"Tapi kalau sekadar Islam sebagai agama rasmi, kita lihat sebagaimana hari ini... sembahyang, puasa pun tak ada undang-undang," dakwa beliau.

"Jadi ini (perlembagaan dan undang-undang) adalah satu perkara yang perlu kena buat perubahan,” kata beliau.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menafikan parti itu berhasrat untuk meminda perlembagaan, tetapi hanya mahu memperkasakan Islam di negara ini.

Bagaimanapun kenyataan terbaru daripada Nik Mohd membayangkan perselisihan yang semakin ketara di antara Majlis Syura dan Hadi susulan isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible.

Nik Mohd mendakwa banyak daripada gejala sosial dan kemungkaran di negara ini berpunca daripada Perlembagaan Persekutuan yang tidak memberikan keutamaan kepada Islam.

"Apa yang berlaku dalam negara kita ini, (ialah) sekadar sembahyang itu pun tak ada undang-undang, ada masjid (tapi) semua itu kulit sahaja,” kata beliau.

"Macam mana dengan undang-undang negara? Macam mana dengan undang-undang rasuah? Undang-undang penyalahgunaan macam-macam, tidak ada di mahkamah syariah,” ujar beliau.

Nik Mohd yang juga Ketua Penerangan Ulama PAS Terengganu, mendakwa Perlembagaan Persekutuan tidak menjurus kepada pelaksanaan Islam itu sendiri di dalam perlembagaan negara.

"Tidak ada undang-undang Islam yang menyentuh dasar ekonomi Islam, yang menyentuh dasar pendidikan Islam, keselamatan dalam negara, hubungan diplomatik, cara perdagangan banyak lagi dalam Islam yang ada," kata beliau.

Menurut beliau, dengan meletakkan Islam sebagai asas Perlembagaan Negara, Pakatan Rakyat akan dilihat sebagai berusaha mencapai keselarian dalam membentuk Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Pemimpin-pemimpin PKR dan DAP sebelum ini menolak sebarang perubahan kepada kepada Perlembagaan susulan desakan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk melaksanakan undang-undang hudud.

Kedua-dua parti itu juga dilihat enggan mendokong pendirian Majlis Syura yang melarang penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan God dalam Bible Bahasa Melayu.

Sebaliknya dua parti itu mendokong pendirian umum Hadi bahawa bukan Islam boleh menggunakan kalimah itu asalkan tidak menghina Islam.

Setakat ini Hadi belum membawa ketetapan Majlis Syura itu untuk dipertimbangkan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

No comments: