Friday, February 22, 2013

Tiada Muafakat Dalam Pakatan - Penganalisis


KUALA LUMPUR: Pergeseran pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP di Johor membuktikan tidak wujud permuafakatan di kalangan parti-parti pembangkang walaupun dalam persoalan asas, menurut penganalisis politik.

Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM)berkata pengundi perlu memberi perhatian kepada latar belakang dan kredibiliti pemimpin pembangkang kerana rata-rata mereka hanya cenderung kepada kuasa dan jawatan daripada soal perjuangan parti yang sebenar.

“Contohnya di dalam PKR sendiri kebanyakan mereka keluar dari BN kerana tidak ditawarkan jawatan seperti Datuk Chua (Jui Meng) yang ditolak oleh MCA sendiri,” katanya.

Konflik dalaman DAP dan PKR di negeri itu dikatakan berlaku disebabkan perebutan kerusi antara kedua-dua parti dan ia memuncak apabila pengerusi DAP negeri Dr Boo Cheng Hau dilapor mahu Chua Jui Meng dilucutkan daripada jawatannya sebagai pengerusi PKR negeri.

Ini berikutan dakwaan Boo bahawa Chua sedang melancarkan kempen secara rahsia terhadap DAP di Johor.

Sehubungan itu, Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh dalam satu kenyataan pada Rabu, menggesa pemimpin utama PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya bertindak sebagai perantara agar peluang pembangkang di negeri itu tidak menerima kesan negatif daripada sebarang perbuatan sabotaj.

Satu daripada kerusi yang dikatakan menjadi ‘rebutan’ antara PKR dan DAP Johor ialah kerusi Parlimen Gelang Patah yang kini disandang Tan Ah Heng daripada Barisan Nasional (BN).

Pada pilihan raya umum 2008 dan 2004, kerusi itu ditandingi calon PKR, namun kali ini terdapat petanda bahawa DAP mahukan kerusi itu kerana alasan calonnya mempunyai peluang lebih tinggi berbanding PKR untuk merampas kerusi itu daripada BN.

“Dalam isu ini langsung tidak bangkit tentang rakyat, apa yang mereka lebih pentingkan ialah tentang berapa banyak kuasa yang mereka ada,” kata anggota Parlimen Muar yang juga Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata perebutan kerusi itu lahir daripada sifat gila kuasa pemimpin-pemimpin pembangkang yang akhirnya sudah tentu merugikan rakyat.

“Saya faham ada penyokong tegar antara mereka yang tidak peduli apa yang berlaku, namun bagi yang dapat fikirkan masa depan, mereka harus fikir bahawa mereka tidak akan dapat kerajaan berkualiti dengan pemimpin sebegini,” katanya.

Anggota Parlimen Batu Pahat Dr Puad Zarkashi pula menyifatkan perpecahan di kalangan parti pembangkang tidak dapat diselindung lagi.

Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata PKR, DAP dan PAS adalah sebuah pakatan yang tidak mempunyai asas kukuh untuk memperjuangkan kepentingan rakyat, menyebabkan masing-masing cuba menunjukkan bahawa mereka adalah juara.

Pengerusi Rancangan Sains Politik Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia, Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid pula berkata sejak awal gabungan pakatan pembangkang tidak sekukuh BN.

-Bernama

No comments: