Oleh: AL KAMARUL ABD LATIF
Pemuda UMNO Pulau Pinang mahu Kementerian Pertahanan terus mempertahankan projek Sekolah Iktisas Tentera Udara (SITU) di Tanjung Bungah tanpa perlu tunduk dengan agenda halus kerajaan DAP negeri pimpinan Lim Guan Eng.
Ketua Pemudanya, Norman Zahalan berkata pihaknya kesal dengan sikap kerajaan DAP Pulau Pinang yang tidak habis-habis bermain politik sempit tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan negara.
Sambil menyelar ugutan Lim Guan Eng itu, beliau seterusnya percaya perkara itu sengaja diperbesarkan untuk kepentingan politik DAP pada masa hadapan.
“Dia (Guan Eng) tak ada kerja lain ke dari terus bermain politik. Ini projek Kementerian Pertahanan sudah pasti ia berlandaskan keselamatan rakyat dan negara.
“Tak payah nak ugut-ugut. Kalau kerajaan negeri prihatin dan sentiasa mementingkan kesejahteraan rakyat, kerajaan DAP Pulau Pinang boleh bagi kerjasama dan selesaikan perkara ini dengan baik bukan buat ugutan secara terbuka”, katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mahu Kementerian Pertahanan merobohkan bangunan bertingkat sekolah tentera udara yang sedang dibina di Tanjung Bungah.
Tindakan itu dibuat atas alasan Kementerian Pertahanan menjalankan projek Sekolah Iktisas Tentera Udara (SITU) tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).
Norman yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang seterusnya berkata pihaknya kesal sejak diberi amanah dari rakyat lebih dua tahun lalu, kerajaan DAP di bawah kepimpinan Lim Guan Eng hanya pandai bermain sandiwara politik.
“Patut dia (Guan Eng) tumpu cara macam mana nak tunai janji kepada rakyat, jaga kebajikan rakyat tapi apa sudah jadi sekarang?
“Sudahlah gagal tingkatkan ekonomi negeri, rakyat pula terus ditekan dengan isu perobohan kampung, roboh gerai, gejala social yang berleluasa, pusat hiburan yang tumbuh macam cendawan dan macam-macam lagi…itu patut kerajaan DAP bagi tumpuan”, ujarnya. – MediaUMNO
No comments:
Post a Comment