Thursday, December 1, 2011

Ucapan Dasar Presiden Liputi Semua Aspek - Ketua Sayap UMNO #PAUMNO


Ucapan dasar presiden yang disampaikan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis meliputi semua aspek penting berkenaan keperluan Umno yang mesti difahami dan diterjemahkan pemimpin dan anggota parti, kata ketua-ketua sayap Umno.

Masing-masing menganggap ucapan Presiden Umno itu sebagai pembakar semangat mereka dalam melaksanakan transformasi parti yang mengambil kira persekitaran baru.

Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin berkata walaupun banyak menyentuh sejarah dan jasa pejuang parti terdahulu, Najib turut menggariskan wawasan dan harapan kepada generasi muda.

"Beliau (Najib) sendiri sebut bahawa sekarang kita tidak boleh hanya beritahu orang muda mengenai jasa lama, walaupun penting untuk kita mengingatkan mengenai jasa Umno, tetapi kalau hanya menghidangkan mereka dengan jasa lama, dan tidak ada apa-apa hala tuju yang berwawasan untuk generasi baru ini mereka tidak akan bersama kita (Umno)," katanya di sini pada Khamis.

Katanya Najib juga menyelitkan kepentingan Umno menguasai media baru dan media sosial yang sebelum ini tidak diketengahkan.

Selain itu, kata Khairy presiden parti juga memberi gambaran tidak ada protokol untuk melontarkan idea demi kepentingan parti.

"Selagi idea yang diberikan itu bagus dan bernas, presiden memberi gambaran bahawa ia akan diterima tanpa mengambil kira idea itu datang dari orang lama, pemimpin besar atau generasi muda," katanya.

Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata ciri-ciri 'orang Umno' antaranya taat, setia, mempunyai kasih sayang, berkhidmat dan berjuang yang dikatakan Najib menepati ciri-ciri Wanita Umno.

"Presiden tanya siapa orang Umno, apa ciri-ciri orang Umno itu, kami nampak ciri-ciri ini ada dalam hati dan naluri kami. Wanita akan membawa kekuatan kepada Umno untuk kemenangan pada pilihan raya umum ke-13," katanya.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula berkata ucapan presiden itu merupakan pembakar semangat untuk anggota pergerakan itu melaksanakan tugas mereka bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

"Sudah tentu apabila kita menghadapi senario yang sukar, kita akan buat persediaan yang luar biasa dan dengan semangat yang disuntik oleh Presiden tadi barisan kepimpinan Puteri mampu memberikan yang terbaik untuk menghadapi pilihan raya," katanya.

-Bernama

No comments: