Wednesday, November 30, 2011

Noramfaizul Dianugerahkan Anugerah Kesatria Terbilang Pemuda UMNO #PAUMNO

Pemuda Umno pada Rabu mengiktiraf jurukamera BernamaTV Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor yang terkorban semasa mengikuti misi kemanusiaan di Somalia dengan Anugerah Kesatria Terbilang.

Penolong Setiausaha Pemuda Umno Datuk Megat Firdouz Megat Junid ketika mengumumkan anugerah itu menganggap Noramfaizul sebagai seorang pejuang yang berani.

Anugerah yang diadakan kali kedua itu disampaikan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin kepada ibu Noramfaizul, Naemah Abd Majid, 63 dan balunya, Norazrina Jaafar, 37, sebelum menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan agung pergerakan itu di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia Tan Sri Omardin Mauju merupakan penerima pertama anugerah tersebut pada tahun lepas.

Noramfaizul, 39, yang turut dianggap 'Wira Malaysia Sebenar' oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terkorban akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu mangsa kebuluran Somalia, pada 2 Sept lepas.

Pada majlis itu, Khairy turut menyampaikan Anugerah Khas Pemuda Umno Malaysia yang julung kali diadakan kepada Ketua Pemuda Sabak Bernam Abdul Samad Dawood di atas jasa beliau menyelamatkan seorang kanak-kanak berumur tujuh tahun yang hampir lemas pada Jun lalu di Sungai Besar.

-Bernama

No comments: