Friday, December 2, 2011

Video Ucapan Penggulungan Ketua Pemuda, KJ #PAUMNO



Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggariskan tujuh langkah yang perlu dilakukan pergerakan itu bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Beliau berkata, satu daripadanya ialah Pemuda perlu mewujudkan perpaduan yang ampuh di peringkat bahagian dengan memujuk ahli-ahli yang merajuk supaya kembali menyokong Umno kerana setiap undi adalah berharga.

Katanya, mereka juga perlu bekerjasama dengan Pemuda daripada parti komponen di bahagian masing-masing dalam menyusun strategi yang mencakupi seluruh kawasan termasuk kampung baru Cina dan estet-estet.

"Kita panggil badan bukan kerajaan, belia, persatuan-persatuan seperti pemandu teksi dan pastikan mereka jelas dengan dasar dan hala tuju BN," katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno 2011 kemarin.

Selain itu, Khairy berkata, Pemuda perlu mengemaskan jentera kerana mereka kini diiktiraf sebagai hulubalang oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bukannya pemain sampingan.

Pemuda juga diminta mengenal pasti pengundi-pengundi muda dengan berhubung dan berjumpa serta mewujudkan rangkaian hubungan melalui e-mel dan laman sosial.

"Kita kena sebarkan maklumat BN di kedai-kedai kopi, Facebook dan Twitter, jangan takut kalau orang mengata BN... kita bagi penerangan, jangan lari," katanya.

Akhir sekali katanya, Pemuda mesti sentiasa berada dengan pengundi-pengundi muda dan memastikan mereka bersama BN sehingga hari pengundian.

"Seperti dalam permainan bola sepak, kita mesti lawan hingga wisel terakhir, jangan mendahului pada 80 minit tetapi tewas akhirnya," katanya.

Dalam pada itu, Khairy mengingatkan anggota Umno khususnya Pemuda agar tidak merajuk dan merasa sedih sekiranya tidak terpilih sebagai "calon boleh menang."

Beliau berkata, golongan tersebut perlu menyemat rasa sayang kepada parti dan perjuangan parti berbanding jawatan dan kedudukan.

"Tengok saya sendiri, selama tiga tahun jadi Ketua Pemuda, walaupun tidak dapat apa (jawatan dalam Kabinet) tidak pernah wujud istilah merajuk atau sedih kerana sayangkan parti dan perjuangan ini".

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai formula tersendiri dalam memilih calon boleh menang yang berdasarkan maklum balas rakyat akar umbi dan bukan hanya daripada agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), cawangan khas polis dan perisikan tentera serta Kemas, katanya.

Bagaimanapun Khairy berkata: "Saya sudah ada senarai pendek nama (calon Pemuda), kita akan kemukakan kepada presiden."

Video URL: http://youtu.be/zGU0LWUjHUI

No comments: