Saturday, October 16, 2021

Tindakan akan diambil terhadap antivaksin kerana sebar berita palsu - PM


 

Kumpulan antivaksi boleh dikenakan tindakan undang-undang jika berterusan menyebarkan berita palsu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Beliau menjelaskan terdapat peruntukan undang-undang yang boleh diambil terhadap kumpulan antivaksin kerana membuat tuduhan tidak tepat berhubung vaksin yang diberikan kepada orang ramai dan membetulkan kekeliruan berhubung isu tersebut.


“Memang dalam negara kita ada banyak undang-undang yang boleh digunakan untuk ambil tindakan kepada pihak yang menyebarkan berita palsu.


“Jadi bukan kerana antivaksin, tetapi kerana berita (palsu) yang mereka sebar kita boleh ambil tindakan.


“Khairy Jamaluddin sudah cakap semalam dan kita bersetuju dengan apa yang disebutkan beliau,” katanya kepada media hari ini.


Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar memohon pihak berkuasa menyegerakan siasatan dan pendakwaan terhadap kumpulan antivaksin.


Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan masih mengkaji keperluan untuk mewajibkan pengambilan suntikan vaksin Covid-19 sebelum dibawa ke Kabinet untuk dimuktamadkan.


Berhubung kritikan yang mendakwa kerajaan memaksa dan menghukum individu yang tidak divaksin, Ismail Sabri berkata kerajaan mementingkan keselamatan majoriti orang ramai dan bukan hanya segelintir kumpulan berkepentingan.


Berita terdahulu : Khairy gesa kumpulan antivaksin didakwa segera




No comments: