Friday, October 15, 2021

Polis Sahkan Lelaki Solat Di Tengah Jalan Pesakit Psikiatri Lari Dari Hospital


Polis mengesahkan lelaki yang sebelum ini tular selepas dirakam menunaikan solat di tengah Jalan Ipoh semalam merupakan seorang pesakit mental.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, anggota JSPT yang sedang melakukan rondaan telah dimaklumkan tentang kejadian kira-kira pukul 3.35 petang dan segera bergegas ke lokasi.


“Anggota berkenaan kemudiannya mendapati terdapat seorang lelaki sedang berdiri di tengah jalan sambil melaungkan azan dan bersolat yang kemudiannya dipujuk lalu dibawa ke sebuah stesen minyak berdekatan untuk menenangkannya.


“Pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan merupakan warga tempatan berusia dalam lingkungan 30-an dan dia juga memakai gelang putih yang menyerupai gelang hospital,” katanya dalam satu kenyataan.


Sarifudin berkata, semakan lanjut yang dilakukan mendapati, lelaki tersebut merupakan pesakit psikiatri di Hospital Selayang yang telah melarikan diri dari wad.


“Pihak Hospital Selayang yang dihubungi kemudiannya telah menghantar ambulans ke lokasi dan membawa lelaki tersebut ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” ujar beliau.





Terdahulu, tular video anggota polis trafik sedang mengawasi lalu lintas sambil seorang lelaki dilihat sedang menunaikan solat di tengah jalan raya.


Kejadian yang dirakam oleh kamera papan pemuka pengguna jalan raya itu mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai yang memuji tindakan anggota polis berkenaan membiarkan lelaki tersebut selesai solat terlebih dahulu sebelum mengalihkannya. 



Berita terdahulu : Tular Video Lelaki Solat Di Tengah Jalan, Polis Trafik Turun Kawal Lalu Lintas

No comments: