Saturday, October 16, 2021

Pusat mencuci kenderaan tawar 'Amoi’ diserbu

 


Taktik premis pusat hiburan yang menawarkan pelayan pelanggan (GRO) warga asing dengan berselindung di sebalik pusat mencuci kenderaan di Kepong, terbongkar dalam serbuan Jabatan Imigresen.


Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan di dua premis di lokasi itu, pihaknya menahan warga 16 warga asing jam 9.30 malam.


"Semasa serbuan dilakukan, wanita warga asing dan pelanggan cuba melarikan diri, namun gagal apabila semua jalan keluar dari premis itu dikepung anggota serbuan.


"Seramai 13 wanita Vietnam serta tiga wanita Thailand berusia antara 22 hingga 35 tahun ditahan dalam serbuan itu.


"Dua lelaki tempatan yang juga pekerja premis dan lima pelanggan pula dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.




Khairul Dzaimee berkata, modus operandi sindiket itu adalah menggunakan aplikasi media sosial seperti WhatsApp dan Telegram bagi 'memancing' pelanggan ke premis terbabit.


"Operasi itu dijalankan di dua premis rumah kedai dua tingkat. Pintu masuk utama ke premis ini tidak mempunyai papan tanda dan hanya dibuka separuh sahaja untuk pelanggan-pelanggan tetap.


"Satu lagi premis menggunakan papan tanda pusat mencuci kenderaan (car wash) bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa.


"Hasil pemantauan dilakukan premis itu dilihat seperti tiada sebarang aktiviti perniagaan dan kurang dikunjungi," katanya.


Katanya, hasil risikan dilakukan, kegiatan tidak bermoral itu bermula dari jam 4 petang sehingga 12 tengah malam dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).


"Premis ini juga direka seolah-olah tidak dikunjungi, namun apabila masuk ke dalam bangunan terbabit premis berkenaan menyajikan pelbagai hiburan berserta GRO.


"Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63," katanya.


Katanya, semua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

No comments: