Wednesday, August 3, 2011

Pemuda Gua Musang Yakin Pada Ku Li

Pemuda UMNO Gua Musang yakin Tengku Razaleigh Hamzah akan terus kekal bersama UMNO biarpun khabar angin mengatakan beberapa pemimpin pembangkang memujuk dan menawarkannya menjadi ketua pembangkang.

Ini kerana mereka menyifatkan Ahli Parlimen Gua Musang itu sebagai pejuang Melayu dan UMNO yang tulen dan tidak akan terpengaruh dengan tawaran pembangkang.

Ketua Pemuda UMNO Gua Musang, Bazlan Baharuddin berkata, Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang selama ini dikenali hanya mempunyai satu hasrat dalam perjuangannya iaitu untuk melihat Melayu dan UMNO selamat serta dihormati.

Beliau mengulas dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim bahawa Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu dipelawa memegang jawatan ketua pembangkang sebagai persediaan jika Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan bersalah dalam kes liwat yang dihadapinya ketika ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan pakatan pembangkang dilihat membelakangkan Anwar apabila didakwa mempelawa Tengku Razaleigh sebagai ketua pembangkang secara rahsia.

Bazlan berkata, kesetiaan Tengku Razaleigh kepada UMNO tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

"Semasa UMNO diharamkan, beliau menubuhkan parti Semangat 46 kerana ingin selamatkan orang-orang UMNO daripada menyertai Pas. Percayalah Ku Li tidak akan sertai pembangkang atau tubuhkan parti pembangkang.

"Hasratnya adalah satu iaitu hanya ingin melihat Melayu dan UMNO selamat serta dihormati seperti dahulu," katanya.


1 comment:

Anonymous said...

harap ku li tidak terpedaya dgn janji kekasih PR